Amalan Murah Rezeki : Amalan-amalan yang disertakan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Rezeki bukanlah sekadar wang ringgit semata-mata, namun kesihatan yang baik, kelapangan fikiran, ketenangan hati, bebas hutang juga turut dianggap rezeki.
Amalan Murah Rezeki Menurut Hadis Nabi dan al-Quran
Bagi yang beragama Islam, kita seharusnya sentiasa bersyukur dengan setiap pemberian rezeki oleh-Nya.
Pertama: Beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.”
Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim
Kedua: Memperbanyakkan Istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.”
Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim
Ketiga: Berbakti Kepada Kedua Ibu Bapa
Berkongsi rezeki bersama ahli keluarga khususnya kedua ibu bapa (walaupun sedikit). Insya-Allah, kesannya hati tenang, rezeki melimpah dan hidup lebih berkat.
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.”
Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.”
Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami
Keempat: Berbuat Baik dan Menolong Orang yang Lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.”
Hadis Riwayat Bukhari
Kelima: Menjaga Silaturahim
Marilah kita memelihara hubungan silaturahim dan ikatan kekeluargaan dengan adik beradik dan ahli keluarga yang lain.
Daripada Anas RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaknya ia menyambung silaturahim (kekerabatan).”
Hadis Riwayat Abu Daud No: 1443
Keenam: Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.”
Hadis Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.
Ketujuh: Solat Dhuha
Marilah sama-sama kita cuba mengamalkan dan beristiqamah dalam melaksanakan solat sunat Dhuha ini di dalam kehidupan seharian kita. Walaupun cuma dua rakaat, ia adalah sebagai satu tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT terhadap segala nikmat-nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita termasuklah nikmat sendi-sendi di dalam badan kita ini.
Nabi S.A.W. telah mewasiatkan kepada Abu Hurairah R.A. agar tidak meninggalkan solat Dhuha melalui hadis bermaksud;
“Kekasihku (Muhammad S.A.W.) mengingatkan akan daku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat Witir sebelum tidur.”
Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Kelapan: Solat Malam / Qiamulail / Solat Tahajjud
Banyak ayat al-Quran dan hadith nabi yang menerangkan tentang kelebihan bagi mereka yang mengerjakan ibadat qiamullail.
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjalah sembahyang tahajjud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”
Surah al-Isra’: 79
Rasulullah SAW menyuruh umatnya bangun beribadat di tengah malam (qiamullail) sebagai satu ibadat tambahan.
Jabir RA pula mengatakan bahawa aku mendengar Rasullulah SAW bersabda, maksudnya:
“Pada malam hari ada satu saat (yang berkat) di mana jika seseorang muslim menepati saat itu dan berdoa kepada Allah SWT meminta keberkatan dunia atau akhirat nescaya Allah kabulkan doanya. Keadaan ini ada pada tiap-tiap malam.”
Hadis Riwayat Muslim
Kesembilan: Zikir dan Membaca al Quran
Kita juga perlu mengamalkan amalan-amalan zikir yang diamalkan oleh Rasulullah. Sebenarnya, terdapat beberapa jenis zikir yang mujarab untuk membuka pintu rezeki kita seluasnya. Antara zikir yang boleh diamalkan (berdasarkan hadis) ialah:-
- Barangsiapa yang lambat datang rezekinya hendaklah banyak mengucapkan – La hawla Wala Quwwata Illa billah. – Hadis Riwayat At-Tabrani
- Barangsiapa setiap hari membaca La ilaha illalla al malikul haqqul mubin maka bacaan itu akan menjadi keamanan dari kefakiran dan menjadi penenteram dari rasa takut dalam kubur. – Hadis Riwayat Abu Nu’aim dan Ad Dailami
- Daripada Ibnu Mas’ud r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al-Waqiah setiap malam, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya.” – Hadis Riwayat Al- Baihaqi
Dengan izin Allah kita akan memperolehi rezeki yang melimpah ruah supaya kita berkesempatan melaksanakan amal jariah dan meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik.
Kesepuluh: Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, ALLAH SWT berfirman:
“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu…”
Surah Ghafir, ayat 60
Sesungguhnya, seluruh khazanah kekayaan adalah hak milik Allah swt dan tiada Pemberi selain-Nya; maka mintalah apa sahaja dari-Nya hatta perkara-perkara yang ringan, kecil dan remeh. Dengan berdoa walaupun hanya sekecil-kecil perkara, ia sebenarnya menunjukkan betapa tingginya pergantungan kita kepada-Nya.
Sebagai kesimpulannya, berikhtiarlah. Siapa berusaha, dia akan berjaya Insya-Allah.
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.”
Hadis Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab
Carian Berkaitan: Amalan Murah Rezeki Menurut Hadis Nabi dan al-Quran