Perkataan PUASA merupakan terjemahan daripada perkataan Arab SAUM dan SIYAM yang bermaksud MENAHAN DARIPADA SESUATU.
Dengan erti kata lain, PUASA itu merupakan – menahan diri daripada perbuatan makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkannya (puasa) bermula dari waktu terbit fajar siddiq sehingga terbenamnya matahari.
Puasa pada bulan ramadan adalah wajib. Mengingkari kewajiban berpuasa fardhu pada bulan Ramadan adalah berdosa besar dan dapat merosakkan iman seseorang muslim.
Seorang arab badwi bertanya kepada Nabi Muhammad saw tentang puasa. Baginda bersabda, maksudnya: Puasa pada bulan Ramadan sahaja melainkan jika kamu ingin menambah puasa sunat.
Hadis Riwayat Bukhari
Hukum Puasa Tapi Tak Solat
Puasa bagi orang yang meninggalkan solat tetap sah ibadah puasanya. Namun, muslim tersebut tetap berdosa besar. Ibadah solat fardhu adalah wajib. Orang yang tidak solat, amat besar dosanya dan wajib untuk digantikan (qada’) solat yang telah ditinggalkan. Sesungguhnya segala amalan kita akan tercatat dan akan ditimbang di akhirat kelak. Firman Allah swt, maksudnya:
Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah sekalipun, nescaya dia akan melihat balasannya. Barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pula, nescaya dia akan menerima balasannya.
Surah al-Zalzalah, ayat 7-8
Baca: Hadis Nabi Tentang Haji Mabrur dan Umrah Mabrurah
Hukum Meninggalkan Puasa Dengan Sengaja
Sekiranya seseorang muslim itu meninggalkan kewajiban berpuasa pada bulan Ramadan tanpa sebab munasabah atau keuzuran, hukumnya adalah berdosa besar. Pada masa yang sama, terdapat juga sebahagian ulama mengatakan bahasa dosa meninggalkan puasa pada bulan Ramadan adalah lebih berat daripada dosa minum arak.
Kelebihan Berpuasa Ramadan di Mekah
Admin sendiri berasa teringin untuk merasai pengalaman berpuasa ramadan dan solat terawih di tanah suci Mekah dan Madinah. Ini kerana, faktor masa dan tempat juga memainkan peranan dalam menerima fadhilat dan ganjaran sesuatu amal ibadah yang dilakukan. Sebagai contoh, ibadah solat di Masjidil Haram digandakan ganjarannya sehingga 100 ribu kali ganda berbanding solat yang ditunaikan di tempat lain. Begitu juga halnya ibadfah puasa.
Sabda Nabi saw, maksudnya: Sesiapa yang bertemu dengan bulan Ramadan di Mekah, berpuasa dan qiam Ramadan daripada apa yang mudah baginya, maka dicatat baginya pahala 100,000 puasa Ramadan.
Hadis Riwayat Ibn Majah
Kadar gandaan ganjaran mengerjakan ibadah pahala bersifat tidak terhad. Ia juga dipengaruhi oleh faktor keikhlasan, pengisian tatkala berpuasa dan sebagainya. Insya-Allah, amalan baik yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan ini akan menghindarkan kita daripada hasutan syaitan yang direjam dan azab apa neraka seterusnya membawa kita ke dalam syurga yang abadi.
Daripada Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda, maksudnya: Apabila datang bulan Ramadan, terbukalah pintu-pintu rahmat serta tertutupnya pintu-pintu neraka dan terbelenggulah syaitan-syaitan.
Hadis Riwayat Muslim