Sesungguhnya bulan ramadan telah dipilih oleh Allah swt sebagai bulan bagi umat Islam untuk melakukan ibadah puasa. Firman Allah swt, maksudnya:
Wahai orang yang beriman, telah difardukan puasa (Ramadan) ke atas kamu sebagaimana yang telah difardukan kepada ke atas umat terdahulu supaya kamu bertakwa.
Surah al-Baqarah, ayat 183
2 Rukun Puasa
Rukun puasa ada 2, iaitu
- Niat
- Menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Niat puasa adalah melalui hati. Lafaz berpuasa yang dizahirkan melalui mulut bukanlah niat. Niat untuk berpuasa perlu dilakukan sebelum terbit fajar atau sebelum masuknya waktu solat subuh. Jika kita terlintas hati untuk berpuasa, maka ia sudah dikira niat.
Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum fajar, maka tiadalah puasa baginya.
Hadis Riwayat Ahmad
Waktu Niat Puasa Ramadan dan Puasa Sunat
Waktu untuk niat puasa wajib pada bulan Ramadan ialah pada waktu malam iaitu sebelum terbit fajar (antara waktu solat Maghrib hingga waktu solat subuh). Oleh itu, bolehlah kita untuk berniat sebelum masuk tidur ataupun ketika kita sedang berbuka puasa / moreh / selepas selesai solat Terawih atau Witir. Niat tersebut tidak akan batal walaupun selepas kita tidur, makan, minum dll. Begitu juga halnya dengan puasa nazar.
Berbeza pula dengan waktu niat puasa sunat. Ia diharuskan untuk berniat sebelum waktu gelincirnya matahari iaitu sebelum masuk waktu solat zuhur.
Saidatina Aisyah ra berkata, ‘Nabi masuk bertemu denganku lalu bertanya, ‘Adakah ada sebarang makanan untuk dijamah? ‘Aku menjawab, ‘Tiada sebarang makanan.’. Maka Nabi saw menjawab, ‘Kalau begitu, aku berpuasa.’
Hadis Riwayat al-Daraquthni
Jika niat yang tidak disertai dengan lafaz dalam bahasa Arab pun tidak mengapa. Puasa tetap sah.
10 Perkara yang Membatalkan Puasa
Antara perkara yang membatalkan puasa adalah:-
- Makan dengan sengaja
- Minum dengan sengaja
- Muntah dengan sengaja – Perbuatan sengaja menjolok jari ke kerongkong sehingga muntah boleh membatalkan puasa seseorang muslim. Walaubagaimanapun, dalam situasi yang tidak disengajakan seperti muntah sebab mabuk dalam kenderaan / mabuk laut / mabuk sebab hamil atau yang seumpama dengannya, puasanya tidak terbatal.
- Memasukkan sesuatu ke dalam rongga – walaubagaimanapun, terdapat pengecualian jika ia dilakukan atas tujuan perubatan selagimana ia bukan makanan atau minuman.
- Berjimak / Bersetubuh
- Mengeluarkan air mani dengan sengaja
- Keluar darah haid
- Keluar darah nifas
- Gila
- Murtad
Tidak Sengaja Makan atau Minum Sewaktu Berpuasa
Makan dan minum pada siang hari sewaktu berpuasa boleh membatalkan ibadah tersebut jika ia dilakukan secara sengaja. Namun, jika tidak sengaja atau terlupa, ia boleh dimaafkan.
Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: Sesiapa yang makan (atau minum) dalam keadaan terlupa bahawa dirinya sedang berpuasa, maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya itu kerana sesungguhnya Allah swt telah memberikannya makan dan minum.
Hadis Riwayat al-Bukhari
Baca: Niat Sujud Syukur – Doa, Dalil, Cara, Hukum & Sebab
Hukum Makan Sewaktu Azan Subuh Sedang Berkumandang
Puasa seseorang itu akan terbatal sekiranya dia masih lagi makan (dengan sengaja) tatkala dia sudah mendengar azan solat subuh telah berkumandang. Ibadah puasanya juga akan terbatal jika dia menelan sisa-sisa makanan yang ada pada celah-celah gigi (secara sengaja). Sebaiknya, kita perlu berkumur atau menggosok gigi selepas usai bersahur untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Hukum Bersetubuh atau Melakukan Hubungan Seks Ketika Berpuasa
Melakukan hubungan seks / berjimak / bersetubuh adalah dilarang sama sekali sewaktu berpuasa. Begitu juga halnya jika air mani keluar secara sengaja atas sebab seperti menyentuh atau mencium isteri / masturbasi / onani / melancap / menonton video lucah. Puasa seseorang itu terbatal sama sekali.
Pada siang hari bulan Ramadan, tidak boleh melakukan hubungan seks atas faktor dibimbangi boleh membatalkan ibadah puasa yang sedang dilakukan. Firman Allah swt, maksudnya:
Dihalalkan bagi kamu pada malam puasa untuk kamu bersama dengan isteri kamu….
Surah al-Baqarah ayat 187
Nota: Puasa tidak terbatal jika sekadar keluar air mazi.
Korek Telinga Boleh Membatalkan Puasa?
Mengorek telinga boleh dikategorikan sebagai memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka. Ada pendapat yang mengatakan bahasa ia tidak membatalkan ibadah puasa yang sedang dilakukan. Sekiranya perbuatan mengorek telinga itu boleh membatalkan ibadah puasa, bagaimana pun halnya dengan perbuatan berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung sewaktu berwuduk?