SAHUR merupakan perbuatan sunat yang dilakukan ketika berpuasa iaitu makan atau minum walaupun sedikit pada akhir malam. Waktu sahur juga merupakan antara waktu yang mustajab doanya.
Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: Umatku berada dalam kebaikan selagimana mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan makan sahur.
Hadis Riwayat Ahmad
Melewatkan Makan Sahur
Waktu yang paling sesuai untuk bersahur adalah sekitar 10 hingga 30 minit sebelum masuknya waktu solat subuh / imsak.
Zaid bin Tsabit berkata, Nabi saw bersabda, maksudnya: Kami dahulu bersahur bersama Rasulullah sehinggalah kami bangun untuk menunaikan solat. Saya bertanya, ‘Berapakah jarak masa antara kedua-duanya?’ Baginda menjawab, ‘Lebih kurang kadar membaca 50 ayat al-Quran’.
Hadis Riwayat al-Nasa’e
Menyegerakan Berbuka Puasa
Segeralah untuk berbuka puasa apabila telah masuk waktunya iaitu tatkala sudah terbenamnya matahari atau telah masuk waktu solat Maghrib. Makanan yang paling afdal sewaktu berbuka puasa ialah buah tamar atau kurma atau makanan yang manis seperti kuih atau air.
Anas ra berkata, maksudnya: Nabi Muhammad saw berbuka dengan beberapa biji tamar sebelum mendirikan solat.
Hadis Riwayat Abu Daud
Berdasarkan hadis, makanlah sedikit terlebih dahulu (sekurangnya buah tamar) sebelum menunaikan solat Maghrib iaitu dalam keadaan perut tidak terlalu lapar atau kenyang.
Baca: 4 Ibadah Puasa Sunat Terbaik Yang Boleh Dilakukan, Terbaik Selepas Ramadan
Doa Buka Puasa (Rumi)
Berdoalah tatakala sedang berbuka puasa. Hal ini kerana, doa orang berpuasa ketika sedang berbuka amat mustajab doanya.
Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: Sesungguhnya doa bagi orang yang berpuasa ketika berbuka tidak ditolak.
Hadis Riwyaat Ibn Majah
Secara umumnya, doa yang boleh dibaca tatkala berbuka puasa ialah seperti berikut:
Ya Allah, keranaMu-lah aku berpuasa. KepadaMu-lah aku beriman. Atas rezekuMu-lah aku berpuasa. Dengan rahmatMu. Ya Allah Yang Maha Pengasih.
Menjamu atau memberi makanan kepada orang yang berbuka puasa merupakan antara amalan yang amat digalakkan.
Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: Sesiapa yang menjamu orang untuk berbuka puasa, baginya pahala sepeti pahalanya serta tidaklah dikurangkan sebahagian pahala orang berpuasa walau sedikitpun.
Hadis Riwayat at-Tirmidzi
Akhlak Bagi Orang yang Berpuasa
Ramadan bukan sahaja dikatakan sebagai bulan kesabaran dan keberkatan. Ia juga digelar sebagai bulan ilmu. Pada bulan Ramadan inilah umat Islam berpeluang untuk mendapat ganjaran dan pahala berlipat kali ganda. Jauhilah sifat-sifat yang keji dan lakukanlah sifat-sifat yang terpuji. Antara akhlah orang yang berpuasa ialah
- Tidak melakukan atau menuturkan perkataan yang sia-sia
- Bersabar ketika ditohmah atau difitnah
- Tidak mengumpat atau mengatakan sesuatu yang tidak baik tentang orang lain. Terdapat juga ulama yang berpendapat mengumpat ini boleh membatalkan ibadah puasa.
Oleh itu, perbanyakkanlah membaca al-Quran dan berzikir sewaktu berpuasa untuk menhindarkan diri kita daripada melakukan perbuatan / percakapan / mengumpat yang sia-sia.
Sebagai kesimpulan, kita perlu menjaga ibadah puasa yang dilakukan agar ia diterima oleh Allah swt dengan cara menjaga rukun puasa dan adab dengan bersungguh-sungguh.