Solat Terawih – Dalil, Bacaan Surah, Rakaat dan Kelebihan

Solat sunat terawih merupakan antara peluang bagi orang Islam untuk beribadah pada malam hari sepanjang bulan Ramadan.

Perkataan TERAWIH ini bermaksud REHAT yang disebabkan adanya rehat setiap kali selesai 4 rakaat solat ini. Hukum solat Terawih ini adalah SUNAT MUAKAD (yang sangat dituntut).

Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: Sesiapa yang mendirikan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosanya yang lalu.

Hadis Riwayat Bukhari

Perkataan MENDIRIKAN MALAM RAMADAN itu ditafsirkan sebagai menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan melakukan solat Terwaih disamping amal ibadah yang lain seperti membaca al-Quran, berzikir dll.

Solat Terawih - Dalil, Bacaan Surah, Bilangan Rakaat dan Kelebihan

Solat Terawih Berapa Rakaat?

Terdapat perbezaan pendapat mengenai bilangan rakaat solat sunat Terawih. Keempat-empat mazhab berpendapat jumlah rakaat solat Terawih adalah sebanyak 20 rakaat.

20 Rakaat

Ia adalah berdasarkan kepada umat Islam pada zaman Saidina Umar al-Khattab yang juga merupakan sahabat Nabi melakukan solat Terawih sebanyak 20 rakaat atas sebab diceritakan bahawa Nabi Muhammad saw solat Terawih sebanyak 20 rakaat. Oleh yang demikian, ijmak sepakat bahasa solat Terawih itu ditunaikan sebanyak 20 rakaat.

36 Rakaat

Ia merupakan amalan pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang turut menjadi amalan penduduk Madinah

8 Rakaat

Ia adalah berdasarkan kepada dalil

Saidatina Aisyah ra berkata, maksudnya: Rasulullah tidak pernah menambah pada bulan Ramadan atau bulan selain Ramadan lebih daripada 11 rakaat…

Hadis Riwayat Bukhari

Kesemua rakaat ini punya dalil dan sunnah. Tidak perlu adanya perbalahan mengenai bilangan rakaat solat Terawih ini kerana hukumnya sunat (iaitu bukan wajud atau fardu). Hal ini tercetus apabila tidak ada nas mahupun dalil secara langsung daripada Nabi Muhammad saw tentang bilangan rakaat solat Terawih.

Baca: (14) Koleksi Ayat Quran dan Hadis Nabi Tentang Malam Lailatul Qadar

30 Kelebihan dan Fadilat Solat Terawih Mengikut Malam

Terdapat sebuah hadis yang megatakan tentang fadilat serta kelebihan solat Terawih ini mengikut malam sepanjang bulan Ramadan. Hadis ini diriwayatkan daripada Saidina Ali bin Abi Talib ra.

  1. Keluar dosa orang mukmin sepertimana dia baru ldilahirkan. Segala dosanya diampunkan oleh Allah swt
  2. Diampunkan dosanya serta kedua orang tuanya
  3. Malaikat di bawah Arasy berseru agar terus melakukan solat Terawih
  4. Mendapat pahala umpama membaca kitab Zabur, Taurat, Injil dan al-Quran
  5. Mendapat pahala seperti bersolat di Masjidil Haram, Majid Nabawi dan Masjidil Aqsa
  6. mendapat pahala umpama pahala malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur. Batu dan tanah turut mendoakan agar doampunkan dosanya
  7. Mendapat pahala umpama orang yang berjuang bersama Nabi Musa as melawan Firaun dan Hamman.
  8. Mendapat pahala Terawih umpama pahala Nabi Ibrahim
  9. Pahala dan mutu ibadah seperti Nabi Muhammad saw
  10. Mendapat kebaikan dunia dan akhirat
  11. Mati dalam keadaan bersih daripada dosa
  12. Muka yang bercahaya pada hari kiamat
  13. Aman sentosa daripada segala kejahatan dan keburukan pada hari kiamat kelak
  14. Malaikat bersaksi bahawa dia solat terawih
  15. Didioakan oleh para malaikat yang menanggung Arasy dan Kursi
  16. Terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga
  17. Pahala terawih umpama pahala para Nabi
  18. Malaikat berseru ‘ Wahai hamba Allah, sesungguhnya Allah telah reda kepadamu dan kedua ibu bapamu’
  19. Ditinggikan darjahnya dalam taman Syurga Firdaus
  20. Mendapat pahala mati syahid dan orang solleh
  21. Dibinakan sebuah istana daripada cahaya untuknya dalam syurga
  22. Bebas daripada perasaan dukacita, kerisauan dan huru hara sewaktu di Padang Mahsyar
  23. Dibina sebuah kota untuknya dalam syurga daripada cahaya
  24. Diberi 24 doa yang mustajab dan dimakbulkan oleh Allah swt
  25. Terlepas dari azab seksa kubur
  26. Mendapat ganjaran pahala 40 tahun beribadah
  27. Dapat melintasi titian Siratul Mustaqim sepantas kilat
  28. Diberi seribu darjat di akhirat kelak
  29. Mendapat pahala seribu kali haji yang mabrur
  30. Memperoleh penghormatan daripada Allah swt

Perlu diingat, hadis ini tidak dapat dipastikan kesahihannya dimana ia tidak tercatat dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar. Oleh yang demikian, memadailah sekiranya kita bersandarkan kepada hadis Nabi Muhammad saw, maksudnya:

Sesiapa yang berqiam Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya diampunkan untuknya dosanya yang telah lalu.

Hadis Riwayat Bukhari

Bacaan Surah yang Boleh Dibaca Untuk Solat Terawih

Apa-apa ayat atau surah pun boleh dibaca sewaktu mendirikan solat sunat Terawih ini. Tidak kisah sama ada panjang atau pendek. ia bersifat bebas. Bahkan, membava satu potong ayat daripada mana-mana surah al Quran pun dibolehkan.

Terdapat juga masjid yang menetapkan untuk mengkhatamkan alQuran dalam masa sebulan sepanjang bulan Ramadan. Dengan kata lain, 1 malam 1 juzuk. Bagi yang tidak hafaz alQuran, ada juga masjid yang meletakkan kitab Al Quran bersaiz besar dihadapan imam bagi membolehkannya membaca surah yang diinginkan dengan lebih mudah.

Maka, bacalah apa yang mudah daripada al Quran.

Surah al-Muzzammil, ayat 20

Cadangan Surah yang boleh dibaca dalam Solat Terawih

Malam Ramadan 1 – 15

  • Setiap rakaat pertama: Membaca surah at-Takatsur sehingga surah al-Masad
  • Setiap rakaat kedua: Membaca surah al-Ikhlas

Malam Ramadan 16 – 30

  • Setiap rakaat pertama: Membaca surah al Qadr
  • Setiap rakaat kedua: Membaca surah at-Takatsur sehingga surah al-Masad