Surah al-Fatihah merupakan satu-satunya surah yang diperintahkan agar dibaca dalam setiap rakaat solat sama ada solat fardhu mahupun solat sunat. Surah ini meliputi semua aspek keagamaan termasuklah tauhid, ibadah, hukum-hakam Islam, janji baik dan janji buruk.
Tiada solat untuk mereka yang tidak membaca al-Fatihah - Hadis Riwayat Bukhari
Surah ini dinamakan sebagai ‘al-Fatihah’ kerana menjadi pendahuluan bagi al-Quran. Surah ini turut mempunyai nama-namanya yang lain. Antaranya ialah
- al-Hamd (pujian) – surah ini dimulakan dengan pujian
- Sab’ a-Mathani (7 ayat pujian yang berulang-ulang) – pembacaan 7 ayat pada surah ini diulang-ulang pada setiap rakaat solat
Baca: 14 Nama Lain Bagi Surah Al-Fatihah Menurut Hadis
Surah al Fatihah Rumi, Jawi dan Terjemahan Bahasa Melayu
Surah al Fatihah Rumi
- Bismillah hirrahman nirrahim
- Alhamduliliah hirabbil ‘alamin
- Arrahman nirrahim
- Maliki yaumiddin
- lyyakana’ budu lyya kanas ta ‘In
- Indinassirotol mustaqim
- Sirotollazi na an ‘am ta ‘alaîhim, ghairil maghdu bi ‘alalhim waladhoollin
Terjemahan Bahasa Melayu Surah al Fatihah
- Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
- Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
- Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
- Yang Menguasai pemerintahan hari pembalasan (hari Akhirat).
- Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
- Tunjukilah kami jalan yang lurus.
- Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
Baca: Surah Al Fatihah Rumi Bahasa Melayu
Ringkasan Tafsir Surah al Fatihah: Kelebihan dan Pengajaran
Secara ringkasnya, surah ini menjelaskan tentang pengabdian penuh terhadap Allah swt. Sebagai surah teragung dan pembukaan dalam al-Quran, ia menjelaskan beberapa perkara asas dalam agama Islam. Antaranya
- Ayat 1- 4: Pujian dan mengagungkan Allah swt yang merangkumi sebahagian besar daripada ayat dalam surah ini
- Ayat 5 – 6: Menyampaikan perintah dan larangan
- Ayat 7: Memberikan janji dan ancaman
Keperluan manusia terhadap petunjuk adalah lebih besar daripada keperluannya terhadap rezeki dan kejayaan. Ini kerana, sekiranya seseorang itu telah mendapat petunjuk, maka dia akan tergolong dalam kalangan orang yang bertakwa. Meskipun seseorang itu telah menjadi Muslim, hajat dan keperluan dirinya terhadap terhadap petunjuk tidak akan pernah berakhir. Disebabkan itulah pada setiap hari, seorang Muslim akan memohon petunjuk daripada Allah SWT sekurangnya kurangnya 17 kali pada setiap solat fardu.
Dalam ayat terakhir surah ini, Allah SWT menyelitkan dua kumpulan golongan yang perlu kita memohon kepada-Nya agar tidak menyerupai mereka. Umat Islam hendaklah sentiasa peka dan berhati-hati agar tidak termasuk dalam kalangan mereka. Golongan tersebut ialah:-
- Golongan yang dimurkai – Golongan yang dimurkai ialah golongan yang sengaja melakukan kekufuran dan kefasikan dan memperlekehkan ajaran agama dengan sengaja atau dengan tafsiran yang jauh menyimpang daripada kebenaran. Contohnya seperti golongan Yahudi, kerana mereka tidak mengamalkan ilmu yang diperoleh serta mengutamakan hawa nafsu berbanding perintah agama.
- Golongan yang sesat – Golongan yang sesat pula ialah mereka yang tersilap dalam memahami agama disebabkan kejahilan dan tidak berusaha menuntut ilmu. Contohnya seperti golongan Nasrani yang beramal tanpa ilmu dan beribadah dengan melakukan bidaah serta beragama dengan kejahilan.
Kedua-dua golongan ini adalah tercela kerana manusia dituntut mengikut jalan kebenaran dan berusaha sedaya mungkin untuk berada dalam kebenaran.
Semoga kita semua, orang Islam dilindungi dan tidak tergolong dalam golongan yang disebut ini, sama ada dari sudut pegangan mahupun amalan gaya hidup.
Baca: Tahukah Anda Bagaimana Istimewanya Buah-buahan di Surga?
Ayat 1: Bismillah hirrahman nirrahim
Bismillah hirrahman nirrahim juga dikenali sebagai basmalah. Ia merupakan kalimah yang menjadi pembukaan kepada kitab suci al-Quran. Dalam banyak-banyak kalimah, basmalah dipilih sebagai pembuikaan. Dan oleh kerana itulah pastinya terdapat hikmah dan makna yang besar disebalik pemilihan ini.
Basmalah yang bermaksud, “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang” mengandungi petunjuk agar setiap perkara atau amalan seorang hamba-Nya hendaklah dimulakan dengan menyebut nama Allah swt. Lafaz ini merupakan pengakuan bahawa setiap perkara atau amalan tersebut dilakukan hanya kerana Allah swt bagi tujuan untuk mendapat keredaan-Nya dan mendapat keberkatan daripada-Nya.
Ayat 2: Alhamduliliah hirabbil ‘alamin
Ayat ini mengajar kita akan cara untuk memuji Allah swt sebagai tanda syukur segala anugerah serta kurniaan-Nya. Ia merupakan ibu kepada segala kesyukuran yang dibuat melalui lidah dengan mengungkapkan pujian yang mutlak hanya kepada-Nya, Tuhan sekalian alam.
Ayat 3: Arrahman nirrahim
Al-Rahman dan al-Rahim merupakan sifat yang merangkumi seluruh makna rahmat. Sifat ini diulang dua kali dalam Surah al-Fatihah sebagai penekanan kepada ciri penting dalam rububiyah Allah yang menyeluruh. Jumhur ulama berpendapat, perkataan al-Rahman dan al-Rahim terbit daripada akar kata yang sama, iaitu rahmat.
Sesungguhnya Rahmat Allah swt adalah sangat luas dan tidak terkira banyaknya. Kerana sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah dan Maha Mengasihani terhadap hamba-hamba-Nya, walaupun manusia sentiasa melakukan kemungkaran dan larangan Allah swt. Amalan berzikir dan menyebut sifat Allah ini menjadikan kita semakin mengenai-Nya. Sekalgus menambahkan lagi kasih sayang dan cinta terhadap-Nya.
Ayat 4: Maliki yaumiddin
Ayat ini mengemukakan satu konsep akidah yang penting dalam kehidupan manusia. Ia membicarakan kebesaran Allah SWT dan kepercayaan kepada hari Akhirat. ‘Malik’ bermaksud Yang Menguasai dan mempunyai kedudukan yang paling tinggi dari segi darjat penguasaan dan pemerintahan.
Manusia sering kali mempercayai uluhiyah Allah dan kedudukan-Nya sebagai pencipta alam ini, tetapi mereka tidak beriman dengan hari pembalasan. Melalui pegangan akidah ini, mereka meletakkan kepentingan akhirat mengatasi kepentingan dunia.
Oleh itu, perasaan resah atau gelisah tidak akan menguasai mereka dalam menempuh segala cabaran dan dugaan dalam kehidupan yang terbatas dan sementara ini. Seluruh amalan mereka difokuskan untuk mencari keredaan Allah SWT dan kebaikan daripada-Nya, sama ada di dunia atau di akhirat dengan penuh ketenangan dan keyakinan.
Ayat 5: lyyakana’ budu lyya kanas ta ‘In
Ayat ini merupakanpengakuan seorang hamba kepada Allah SWT yang mengandungi dua makna, iaitu tunduk secara mutlak dan penyerahan diri hanya kepada-Nya. Pengakuan ini terbit daripada jiwa yang tunduk, kasih dan taat kepada-Nya.
Ayat ini menuntut seseorang untuk mengkhususkan ibadat hanya kepada Allah swt dan memohon bantuan hanya daripada-Nya. Ini kerana, hanya Allah swt berhak diberikan segala ibadat dan hanya Dia-lah yang berkuasa memberikan segala kebaikan atau menghindarkan segala keburukan.
Ayat 6: Indinassirotol mustaqim
Ayat ini merupakan permintaan seorang hamba kepada Allah swt. Cara terbaik tatakala berdoa memohon kepada Allah swt adalah dengan cara memujinya terlebih dahulu, kemudian barulah emminta hajat kepada-Nya.
Doa yang diungkapkan adalah permulaan kepada pelaksanaan secara amali melalui ucapan lisan memohon agar diberikan taufik kepada jalan yang lurus yang menyampaikan seorang hamba kepada-Nya dan diberikan taufik agar terus istigamah. Ayat ini secara tidak langsung menunjukkan kepentingan hidayah yang perlu dipohon sentiasa.
Firman Allah swt dalam Hadis Qudsi, maksudnya: Separuh (surah al-Fatihah) adalah untuk-Ku (puji-pujian) dan separuh lagi untuk hamba-Ku, dan aku perkenankan kepada hamba-Ku permintaannya - Hadis Riwayat Muslim dan at-Tirmidzi
Ayat 7: Sirotollazi na an ‘am ta ‘alaîhim, ghairil maghdu bi ‘alalhim waladhoollin
Ayat ini menjelaskan ciri-ciri jalan yang lurus yang dinyatakan dalam ayat sebelumnya.
Ciri-ciri jalan yang lurus itu secara umumnya ialah jalan orang yang Allah SWT kurniakan nikmat kepada mereka dan bukan jalan orang yang Allah SWT murka ke atas mereka kerana mereka mengetahui kebenaran kemudian menyeleweng daripada-Nya. Hal ini juga bukan jalan golongan yang sesat daripada kebenaran dan tidak mendapat hidayah. Penerangan ringkas mengenai golongan yang dimurkai dan sesat ada diterangkan di atas.