Dalam ayat kursi yang pendek ini, terkumpul asmaul husna iaitu sifat-sifat utama bagi Allah iaitu ketuhanan, keesaan, hidup, ilmu, memiliki kerajaan, kekuasaan dan kehendak.
Sesudah menegaskan mengenai keesaan-Nya, disusul pula dengan menyebut dua sifat-Nya yang lain, iaitu hidup dan terus menerus mengurus makhluk-Nya.
Dengan demikian, manusia akan merasa aman dalam hidup serta tenang perasaannya kerana meyakini bahawa dia di dalam tangan Tuhan yang hidup, yang terus menerus mengurus serta mengawal keadaan hamba-Nya.
Kelebihan Ayat Kursi Berdasarkan Kepada Hadis Nabi
Allah, Dia-lah Tuhan yang tunggal bagi segala makhluk. Kerana itu, tiada yang berhak disembah dalam kehidupan ini melainkan Allah swt. Segala apa yang ada di langit dan bumi adalah hamba dan milik-Nya. Semuanya tunduk di bawah kehendak dan kekuasaan-Nya.
Imam Ahmad, Al-Nasai, AI-Hakim dan Al-Baihaqi ada meriwayatkan tentang kedudukan Ayat Kursi ini dalam al-Quran, sabda nabi ketika ditanya oleh Abu Zar ra, maksudnya: “Ayat manakah yang diturunkan kepadamu yang paling agung?”
Jawab baginda: “Ia adalah ayat Kursi.”.
Dari sudut keberkatannya di dunia, sabda Rasulullah: “Bacalah ayat Kursi kerana sesungguhnya ia menjaga kamu, zuriat dan rumah tangga kamu hingga bilik kecil di sekeliling rumahmu.”
Dari segi keberkatannya dalam menghalau syaitan, sabda Rasulullah: “Di dalam surah al-Bagarah, ada satu ayat yang menjadi penghulu bagi ayat al-Quran, tidak dibacanya dalam rumah yang ada di dalamnya syaitan melainkan keluar ia daripadanya, itulah ayat Kursi.” – Hadis Riwayat Al-Hakim
Dari sudut keberkatannya ketika mati dan di akhirat, sabda Rasulullah: “Sesiapa yang membaca ayat Kursi selepas setiap solat fardu, Allah akan memberi-kannya hati orang yang bersyukur, amalan orang yang membenarkan Allah, pahala nabi-nabi, melimpahkan rahmat-Nya dan tidak menghalangnya dari masuk syurga melainkan kematian yang akan memasukkannya.” – Hadis Riwayat Al-Nasa’ie
Baca: Ringkasan Tafsir Surah Al Kausar – Terjemahan Rumi, Kelebihan dan Pengajaran
Hadis Riwayat al Hakim: Kisah Jin Minta Sedekah Kurma daripada Ayah Abdullah bin Ubay
Sedekah Sebuah kisah yang diceritakan oleh ayah Abdullah bin Ubay bin Ka’ab ra, menjadi bukti akan kelebihan Ayat Kursi sebagai pelindung. Dia menceritakan bahawa pada suatu malam ketika melihat lihat kebun kurma milikya, tiba-tiba ia melihat seekor haiwan mirip dengan seorang anak yang baru baligh. Maka ayah Abdullah bin Ubay bin Ka’ab r.a mengucapkan salam dan dijawab oleh anak itu.
Kemudian dengan nada hairan ia bertanya, “Siapakah kamu? Apakah kamu dari golongan jin atau manusia?”
Dengan ringkas budak itu menjawab, “Dari golongan jin.”
Akhirnya ia meminta jin itu menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan. Ternyata ketika disentuh, tangannya seperti tangan anjing dan berbulu.
Maka aku bertanya, “Apakah demikian jin diciptakan?”
Jin itu menjawab, “Bahkan ada yang lebih teruk dari ini.”
“Apakah yang mengundang kamu datang ke mari?” Ayah Abdullah bin Ubay kembali bertanya.
“Telah sampai berita kepadaku bahawa engkau adalah seorang yang sangat dermawan. Aku ingin mendapatkan sedekahmu.”
“Jika memang demikian, aku ingin bertanya apa yang dapat melindungi kami dari godaanmu?”
Dengan tegas, jin itu menjawab, “Ayat Kursi.”
Keesokan harinya, ayah Abdullah bin Ubay menceritakan kepada Rasulullah saw apa yang dialaminya malam tadi. Maka Rasulullah saw bersabda, “Apa yang dikatakan oleh jin itu benar, tetapi dia tetap makhluk yang kotor.”
Baca: Ringkasan Tafsir Surah Al Kafirun – Terjemahan Rumi, Kelebihan dan Pengajaran
Hadis Riwayat Bukhari: Kisah Abu Hurairah ra Dengan Syaitan
Abu Hurairah ra pernah ditugaskan oleh Rasulullah SAW untuk menjaga gudang zakat di bulan Ramadan. Tiba-tiba muncullah seseorang, lalu mencuri segenggam makanan. Namun Abu Hurairah ra berjaya menangkapnya. “Akan aku laporkan kamu kepada Rasulullah SAW,” Abu Hurairah ra mengugutnya.
Bukan main takutnya pencuri itu mendengar ancaman Abu Hurairah ra, hingga kemudian ia pun merengek-rengek, “Saya ini orang miskin, keluarga tanggungan saya banyak. Sementara saya sangat memerlukan makanan.” Mendengar rintihan itu, Abu Hurairah ra segera melepaskan pencuri itu. Bukankah zakat itu pada akhirnya akan diberikan kepada fakir miskin?
Keesokan harinya, Abu Hurairah ra melaporkan kepada Rasulullah SAW. Baginda menyoal, “Apa yang dilakukan kepada tawananmu semalam, ya Abu Hurairah?” Jawab Abu Hurairah r.a, “Ya Rasulullah, orang itu miskin, keluarganya banyak dan sangat memerlukan makanan.”
“Dia bohong,” kata nabi. “Pada hal nanti malam ia akan datang lagi.”
Kerana Rasulullah SAW berkata begitu, maka Abu Hurairah ra semakin meningkatkan penjagaannya. Benar pencuri itu datang semula, lalu mengambil makanan seperti kelmarin. Kali ini pun tertangkap, “Akan aku laporkan kamu kepada Rasulullah SAW.” Ancam Abu Hurairah ra. Pencuri itu pun sekali lagi meminta ampun seraya berkata, “Saya orang miskin, keluarga saya banyak. Saya berjanji tidak akan mencuri lagi.” Abu Hurairah ra berasa kesian mendengar keluhannya, dilepaskannya lagi pencuri itu.
Pada paginya, kejadian itu dilaporkan kepada Rasulullah SAW dan baginda pun bertanya seperti kelmarin. Kata Rasulullah SAW menegaskan, “Pencuri itu bohong dan nanti malam dia akan kembali lagi.”
Malam itu Abu Hurairah ra berjaga-jaga dengan kewaspadaan penuh. Diperhatikannya dengan teliti setiap gerak-geri di sekelilingnya kerana sudah dua kali dia dibohongi oleh pencuri. Jika pencuri itu benar-benar datang lagi, Abu Hurairah ra bertekad tidak akan melepaskannya. Hatinya sudah tidak sabar lagi menunggu datangnya pencuri jahanam itu. Malam semakin larut, jalanan sudah sepi, tiba-tiba muncul bayangan yang datang menghampiri longgokan kurma.
“Nah! Benar juga, dia datang lagi,” kata Abu Hurairah ra dalam hati. Tidak lama kemudian pencuri itu berhasil ditangkapnya. “Kali ini kau pasti ku laporkan kepada Rasulullah SAW. Sudah dua kali kau berjanji tidak akan datang lagi ke mari, tapi ternyata kau datang lagi mencuri.”
“Lepaskan saya,” pencuri itu memohon. Tapi, dari tangan Abu Hurairah ra yang menggenggam erat-erat dapat difahami, bahawa kali ini dia tidak akan dilepaskan lagi. Maka dengan rasa putus asa akhirnya pencuri itu berkata, “Lepaskan saya, akan saya ajari tuan beberapa kalimah yang sangat berguna.”
“Kalimah apakah itu?” Tanya Abu Hurairah ra dengan rasa ingin tahu. “Bila tuan hendak tidur, bacalah Ayat Kursi, maka tuan akan selalu dipelihara oleh Allah SWT dan tidak akan ada syaitan yang berani mendekati tuan sampai pagi.” Maka pencuri itu pun dilepaskan oleh Abu Hurairah ra.
Keesokan harinya, dia kembali menghadap Rasulullah SAW untuk melaporkan pengalamannya yang luar biasa malam tadi. Ada seorang pencuri yang mengajarinya tentang fadilat dan keutamaan Ayat Kursi. “Apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?” Tanya Rasulullah SAW sebelum Abu Hurairah r.a sempat menceritakan pengalamannya.
“Dia mengajariku beberapa kalimat yang katanya sangat berguna, lalu dia saya lepaskan.” Jawab Abu Hurairah ra.
“Kalimat apakah itu?” Tanya Nabi SAW.
Katanya, “Kalau kamu mahu tidur, bacalah Ayat Kursi. Jika engkau membacanya, maka engkau akan selalu dijaga oleh Allah SWT dan tidak akan didekati syaitan hingga pagi hari.”
Mendengar itu, Nabi SAW berkata, “Pencuri itu telah berkata benar, sekalipun sebenarnya ia tetap pendusta.” Kemudian Nabi SAW bertanya pula, “Tahukah kamu, siapa sebenarnya pencuri yang bertemu denganmu setiap malam itu?”
“Tidak tahu.” Jawab Abu Hurairah r.a.
“Itulah syaitan.” Kata Rasulullah SAW.
Baca: Perhatikan 4 Hal yang Membatalkan Wudhu, Agar Ibadah Sah
Hadis Riwayat Ahmad: Ayat Kursi Nilainya Sama Seperti 1/4 al-Quran
Anas bin Malik menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah bertanya kepada salah seorang sahabatnya, “Wahai fulan, sudahkan kamu menikah?”
Sahabat itu menjawab, “Saya tidak memiliki apa pun untuk menikah.”
Rasulullah SAW bertanya kembali, “Bukankah bersama engkau (hafal) al-Ikhlas?”
Dia menjawab, “Benar wahai Rasulullah.”
Rasulullah SAW menjelaskan, “la sebanding dengan seperempat al-Quran.”
Rasulullah SAW terus bertanya, “Bukankah bersama engkau (hafal) Ayat Kursi?”
Dia menjawab, “Benar ya Rasulullah.”
Maka Rasulullah SAW bersabda, “la senilai dengan seperempat al-Quran.”
Hadis Riwayat Ahmad: Ayat al-Quran Paling Agung
Daripada Ubay bin Kaab, bahawa Nabi saw pernah bertanya kepadanya: “Apakah ayat yang paling agung di dalam kitab Allah?”
“Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui,” sahut Ubay bin Ka’ab.
Maka Nabi saw mengulang-ulang pertanyaan tersebut, dan lalu Ubay bin Ka’ab menjawab: “Ayat Kursi.”
Kemudian Baginda saw mengatakan: “Engkau akan dilelahkan oleh ilmu, hai Abu Mundzir. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya Ayat Kursi itu mempunyai satu lidah dan dua bibir yang sentiasa menyucikan Al-Malik (Allah) di sisi tiang Arsy.”