Bacaan, Cara dan Niat Sujud Sahwi

Pensyariatan SUJUD SAHWI adalah tanda pengiktirafan Allah terhadap sifat lupa yang ada pada hamba-Nya. Sebagai manusia biasa, kita juga boleh lupa tatkala bersolat.

Contohnya terlupa meninggalkan rukun atau sunat atau terlupa rakaat sama ada terkurang atau terlebih rakaat.

Dari segi bahasa, Sahwi membawa maksud lupa / lalai terhadap sesuatu secara tidak sengaja. Sujud Sahwi ini dilakukan untuk menampung kekurangan dan ia dilakukan pada akhir solat iaitu selepas selesai tahiyat akhir dan sebelum memberi salam.

Sujud Sahwi hukumnya adalah sunat dan tidak batal solat jika terlupa atau sengaja tidak melakukannya.

Hadis Tentang Sujud Sahwi

1.Tidak Pasti Bilangan Rakaat

Abu Said al-Khudri berkata, Rasulullah bersabda, maksudnya:

“Sekiranya sesiapa berasa syak dalam solatnya hingga dia tidak mengetahui sama ada dia telah bersolat tiga rakaat atau empat rakaat, hendaklah dia berdiri dan melakukan satu lagi rakaat.” Yazid telah berkata “Sehingga syak itu hilang, dengan rakaat yang ditambah. Kemudian hendaklah bersujud dua kali sujud sahwi. Sekiranya dia sebenarnya telah bersolat lima rakaat, kedua-dua sujud ini membaiki solatnya. Dan jika dia bersolat empat rakaat, dua sujud ini mengusir syaitan.” – Hadis Riwayat Ahmad

2.Terlupa Bilangan Rakaat

Abu Said al-Khudri berkata, Rasulullah bersabda, maksudnya:

“Sesiapa yang berasa waswas dalam solatnya sehingga dia tidak mengetahui berapa rakaat yang telah dilakukannya hendaklah dia berpegang kepada yang diyakini. Apabila telah yakin ia telah disempurnakan hendaklah bersujud dua kali sebelum memberi salam. Jika solatnya tidak cukup, ia dicukupkan. Jika rakaatnya telah cukup, ia menjadi celaan kepada syaitan.” Hadis Riwayat Ahmad

Baca: Doa dan Cara Solat Dhuha Ringkas – Rumi

3.Terlebih atau Terkurang Bilangan Rakaat

Daripada Abdulah, dripada Ibrahim, katanya Nabi Muhammad SAW pernah terlebih rakaat dalam solat. Kemudian, Baginda bersujud sahwi. Abdullah berkata, daripada Ibrahim, katanya, maksudnya: Rasulullah SAW telah bersolat dan menambah rakaat atau kurang. Selepas Baginda memberi salam, kami bertanya,

‘Wahai Rasulullah, adakah berlaku perubahan dalam solat?’ Baginda menjawab, ‘Jika berlaku perubahan, pasti saya memaklumkan kepada kamu. Tetapi saya juga hanya manusia yang lupa sebagaimana kamu lupa. Sesiapa dikalangan kamu yang merasa syak dalam solatnya, hendaklah dia mengambil yang lebih tepat dan kemudian sempurnakannya. Setelah itu hendaklah dia memberi salam lalu bersujud dengan dua kali sujud. – Hadis Riwayat al-Nasa’

Daripada Abu Hurairah, katanya:

“Nabi Muhammad bersolat Zuhur dan Asar bersama dengan kami, kemudian Baginda memberi salam (selepas dua rakaat). Lalu Zul-Yadain bertanya: ‘Wahai Rasulullah, adakah solat telah dikurangkan?’ Baginda berkata kepada sahabat-sahabatnya: ‘Benarkah apa yang dikatakannya?’ Mereka menjawab: ‘Ya.’ Lalu Baginda bersolat dua rakaat dan setelah itu bersujud sebanyak dua kali. Saad (bin Ibrahim) berkata: ‘Saya melihat ‘Urwah bin al-Zubair bersolat Maghrib dua rakaat dan memberi salam. Dia bercakap-cakap, kemudian bersolay rakaat yang tertinggal serta dua kali sujud.’ Katanya: ‘Demikianlah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.'” – Hadis Riwayat Bukhari.

Lima Sebab Sujud Sahwi

  1. Tertinggal mana-mana rukun solat, kecuali niat dan takbiratulihram. Sekiranya seseorang itu terlupa berniat atau takbiratulihram, solatnya tidak sah dan perlu mengulanginya semula.
  2. Ragu-ragu terhadap bilangan rakaat dalam solat.
  3. Tertinggal sunat-sunat Ab’ad. Imam Bukhari meriwayatkan, daripada Abdullah bin al Buhainah, katanya: “Kami solat bersama Rasulullah dua rakaat pada sebahagiaan solat. Kemudian baginda berdiri dan tidak duduk, lalu orang ramai pun berdiri bersama dengannya. Apabila telah selesai solat, ketika kami menunggu salamnya, tiba-tiba Baginda bertakbir sebelum salam dan melakukan dua kali sujud. Setelah itu Baginda duduk dan memberi salam.”
  4. Melakukan perbuatan yang dilarang secara tidak sengaja. Perbuatan tersebut tidak membatalkan solat. Contohnya bercakap / menambah rakaat
  5. Melakukan satu rukun atau sebahagian rukun atau membaca surah bukan pada tempatnya. Contohnya membaca al Fatihah tatkala sujud.

Baca: Koleksi Bergambar: Zikir Harian Selepas Solat

Cara Sujud Sahwi

BERNIAT – hendaklah berniat untuk melakukannya dan ia hendaklah dilakukan di hujung solat sebelum salam atau selepas salam (jika terlupa). Tiada lafaz niat sujud sahwi tertentu. Namun, boleh berniat dengan “sahaja aku melakukan sujud sahwi” di dalam hati.

TEMPOH SELEPAS SALAM – Jika terlupa sujud sebelum salam, bolehlah sujud selepas memberi salam dengan syarat tidak terlalu lama, jika tidak luputlah sunat melakukan sujud sahwi.

Akan tetapi, jika dia baru teringat untuk melakukan sujud sahwi selepas memberikan salam dalam jangka masa yang singkat, dia masih boleh melakukannya. Dia hendaklah kembali sujud, duduk, sujud semula dan duduk serta memberi salam sekali lagi.

DUA KALI SUJUD – Sujud sahwi dilakukan sebanyak dua kali sujud. Pada kedua-dua sujud tersebut hendaklah dibaca tasbih berikut:-

Bacaan, Cara dan Niat Sujud Sahwi

 SubhaaNa Man Laa YaNaaMu Walaa Yas-Huu (3 kali) 

Maksudnya: Maha Suci Tuhan yang tidak tidur dan tidak lupa.

Carian Berkaitan: Bacaan, Cara dan Niat Sujud Sahwi