Cara Solat Berjemaah Bagi Wanita & Ciri Wanita Layak Jadi Imam

Ulama sepakat dengan mengatakan bahawa TIDAK WAJIB bagi kaum wanita untuk mengerjakan solat berjemaah. Namun, syariat tetap membenarkan kaum hawa untuk mengerjakan solat secara berjemaah.

Ia berdasarkan kepada hadis Nabi berikut.

Sabda Rasulullah saw, maksudnya: Solat berjemaah 27 (darjat) lebih utama daripada solat secara bersendirian. – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Tidak ada sebarang dalil yang melarang wanita daripada mengerjakan solat secara berjemaah. Pada masa sama, terdapat riwayat tentang Ummu Salamah dan Aisyah ra yang pernahmengimami jemaah wanita.

Raithah al-Hanafiah berkata, bahawa Aisyah ra pernah mengimami mereka. Ia berdiri di tengah mereka (barisan pertama) dalam solat fardhu - Hadis Riwayat Abdurrazzaq

2 Cara Wanita Solat Berjemaah

Solat berjemaah bagi kaum wanita boleh dilakukan dengan 2 Cara:-

  1. Kaum wanita mengerjakan solat berjemaah di belakang jemaah lelaki – Ia berdasarkan kepada riwayat, Anas ra berkata, maksudnya: Aku bersama seorang anak yatim bermakmumkan kepada Rasulullah saw di rumah kami. Sedangkan ibuku, Ummu Sulaim, ikut solat di belakang kami. – Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasaie
  2. Kaum wanita mengerjakan solat berjemaah berimamkan seorang wanita

Ciri Wanita Yang Layak Menjadi Imam

Wanita yang paling layak menjadi imam adalah wanita yang paling baik bacaan dan pemahamannya tentang al-Quran. Namun, jika bilangannya lebih daripada satu, maka didahulukan pula wanita yang lebih mengetahui tentang sunnah

Manakala, tuan rumah lebih berhak untuk menjadi imam sekiranya solat berjemaah itu dikerjakan di rumah (kecuali jika dia memberikan hak tersebut kepada wanita lain)

Sabda Nabi Muhammad saw, maksudnya: Imam bagi suatu kaum adalah orang yang paling pandai membaca al-Quran di antara mereka. Jika mereka simbang dalam kemampuan membaca al-Quran, maka dipilih yang lebih mengerti sunnah. Jika mereka seimbang dalam pengetahuan sunnah, maka dipilih yang lebih dulu hijrah. Janganlah seseorang itu menjadi imam di wilayah kekuasaan orang lain dan jangan pula duduk di rumahnya di tempat kehormatannya, kecuali bila diizinkannya. - Hadis Riwayat Muslim, at-Tirmidzi, Abu Daud dan Ibnu Majah
Cara Solat Berjemaah Bagi Wanita & Ciri Wanita Layak Jadi Imam

Kedudukan Imam Wanita bagi Jemaah Wanita

Imam berdiri di tengah barisan (pertama) jemaah wanita dan bukan di hadapan mereka. Ia sepertimana yang dilakukan oleh Aisyah ra dan Ummu Salamah

Ammar ad-Dhuni berkata, dari seorang wanita dari keluarganya yang dikenali dengan nama Hujairah bahawa Ummu Salamah pernah mengimami mereka dan berdiri di tengah (barisan pertam) - Hadis Riwayat Abdurrazzaq

Suara Imam Wanita Yang Bersolat Berjemaah

Imam wanita boleh menguatkan suaranya di dalam solat yang ditunaikan. Namun, sekiranya ada kaum lelaki di sekitarnya, dia tidak boleh menguatkan suara, kecuali lelaki tersebut adalah mahramnya.