Hukum, Niat dan Cara Solat Qasar (Rumi)

Solat mempunyai kedudukan yang utama dalam kehidupan seseorang muslim. Ia juga menjadi salah satu daripada 5 Rukun Islam.

Muslim yang cuai dalam menunaikan solat fardu sama ada secara sengaja atau meninggalkannya boleh membawa kepada kekufuran sekiranya ianya berterusan

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: Jangan engkau sengaja meninggalkan solat, sesungguhnya sesiapa yang sengaja meninggalkan solat dia akan terlepas daripada mendapat perlindungan Allah dan Rasul-Nya.

Hadis Riwayat Ahmad

Allah SWT memberikan 2 kemudahan kepada orang yang musafir ketika bersolat

Pertama: Mengurangkan (memendekkan) bilangan rakaat yang dinamakan sebagai QASAR

Kedua: Menghimpunkan 2 solat ketika menunaikan solat supaya orang yang bermusafir mendapat masa lapang sebanyaknya yang dinamakan sebagai JAMAK

Maksud QASAR dan hukum / hadis berkaitannya

Qasar ialah melakukan solat yang 4 rakaat (Zuhur, Asar dan Isyak) kepada 2 rakaat sahaja. Jadi, solat maghrib dan subuh tidak boleh diqasarkan

Firman Allah SWT,

Maksudnya: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa ‘mengqasarkan’ (memendekkan) sembahyang. – Surah al-Nisa: 101

Daripada Ya’la bin Umayyah, katanya

Maksudnya: Aku mengatakan firman Allah kepada Umar bin al-Khattab RA yang maksudnya (tidaklah berdosa mengqasarkan sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir). Bagaimana pula ketika keadaan orang ramai telah pun aman? Umar berkata: Aku juga tertanya-tanya tentang perkara yang engkau tanyakan itu. Lalu aku bertanya Nabi Muhammad tentang perkara tersebut. Baginda bersabda: Itu adalah pemberian Allah SWT kepada kamu, maka terimalah pemberian-Nya. – Hadis Riwayat Muslim

Daripada Ibnu Umar, katanya

Maksudnya: Saya pernah menemani Nabi Muhammad SAW dan Baginda tidak pernah solat lebih daripada dua rakaat ketika musafir. Abu Bakar, Umar dan Uthman juga demikian – Muttafaq ‘alaih

Baca: Doa dan Cara Solat Dhuha Ringkas – Rumi

Syarat Mengqasarkan (memendekkan) Solat Fardu 4 Rakaat kepada 2 Rakaat

  1. Perjalanan tersebut hendaklah lebih daripada 2 marhalah atau 88.704 kilometer
  2. Tujuan perjalanan bukanlah bersifat maksiat atau bercampur aduk antara yang harus dan maksiat
  3. Solat yang hendak diqasar itu hendaklah dilakukan pada waktunya dan ketika dia masih dalam perjalanan.
  4. Berniat untuk memendekkan solat ketika takbiratulihram. Asal solat fardu yang ingin diqasarkan ialah sebanyak 4 rakaat. Oleh itu, niat untuk qasar diperlukan untuk menukarkan bilangan rakaat kepada 2 rakaat sahaja.
  5. Tidak mengikut imam yang bersolat pada rakaat penuh / tidak diketahui kedudukannya. Jika dia mengikut imam yang bersolat penuh, maka dia hendaklah juga bersolat pada rakaat yang penuh.
  6. Orang yang mahu mengqasarkan solat, hendaklah sedang berada dalam perjalanan tatkala melakukan solat qasar tersebut. Sekiranya dia telah sampai ke destinasi, wajib untuk dia menyempurnakan solat tersebut. Begitu juga halnya sekiranya seseorang itu musafir selepas masuk waktu, dia wajib untuk menyempurnakan solatnya dan tidak boleh qasar.
  7. Orang yang bermusafir itu tidak berniat untuk menetap di tempat yang ditujunya melebihi 3 hari, tidak termasuk hari pergi dan hari kembali. Sekiranya dia tidak bercadang untuk menetap di tempat yang ditujunya melebihi 3 hari, tidak harus bagi mengqasarkan solat kerana sudah dianggap sebagai bermukim. Oleh itu, dia hanya boleh mengqasarkan solat ketika masih dalam perjalanan, tetapi setelah sampai ke destinasinya, dia tidak boleh lagi qasar solatnya.
  8. Sekiranya dia musafir tanpa mengetahui bilakah urusannya akan selesai, sama ada kurang 3 hari atau lebih, harus dia mengqasarkan solatnya selama 18 hari, tidak termasuk hari sampainya dan hari berangkat pulang.
  9. Orang musafir tersebut perlulah melepasi sempadan pekan, bandar atau qariah tempay tinggalnya. Musafir hanya boleh mengqasarkan solat yang masuk waktunya selepas dia berada di luar kawasan tempat tinggalnya.

Anas bin Malik ra, katanya:

Maksudnya: Aku bersolat Zohor empat rakaat bersama Nabi Muhammad SAW di Madinah dan bersolat Asar dua rakaat di Zul Hulaifah – Hadis Riwayat Bukhari

Nota: Kedudukan Zul Hulaifah adalah di luar bangunan Madinah.

Baca: Himpunan Doa Murah Rezeki

Lafaz Niat Solat Qasar (Niat Solat Qasar Tanpa Jamak)

Solat Zohor

Bergambar - Hukum, Niat dan Cara Solat Qasar (Rumi)

Ejaan Rumi: Usholli fardhol dhuhri rok’atainii qoshron lillaahi ta’aala.

Terjemahan: Sahaja aku solat fardu Zohor dua rakaat qasar, tunai kerana Allah Taala

Solat Asar

Bergambar - Hukum, Niat dan Cara Solat Qasar (Rumi)

Ejaan Rumi: Usholli fardhol ashri rok’atainii qoshron lillaahi ta’aala

Terjemahan: Sahaja aku solat fardu Asar dua rakaat qasar, tunai kerana Allah Taala

Solat Isyak

Bergambar - Hukum, Niat dan Cara Solat Qasar (Rumi)

Ejaan Rumi: Usholli fardhol isya’i rok’atainii qoshron lillaahi ta’aala

Terjemahan: Sahaja aku solat fardu Isyak dua rakaat qasar, tunai kerana Allah Taala

Carian Berkaitan: Hukum, Niat dan Cara Solat Qasar (Rumi)Â