Kisah Surah Al Alaq – Surah Pertama Diturunkan Di Gua Hira

Kisah Surah Al Alaq

Hadis Riwayat Imam Ahmad mencatatkan, daripada Saidatina Aisyah ra, dia berkata:

“Wahyu yang pertama kali diturunkan bagi Rasulullah saw adalah mimpi yang benar melalui tidur. Baginda tidak bermimpi melainkan datang sesuatu seperti falaq Subuh. Setelah itu, baginda menjadi lebih senang mengasingkan diri. Maka baginda mendatangi Gua Hira. Di sana beliau beribadah beberapa malam dengan perbekalan yang cukup.

Baca: Surah Al Alaq Rumi, PDF, Maksud & Kelebihan

Kisah Surah Al Alaq - Surah Pertama Diturunkan Di Gua Hira

Setelah itu, baginda pulang kembali kepada isterinya Saidatina Khadijah ra untuk mengambil bekal yang sama sampai akhirnya datang wahyu secara tiba-tiba kepada baginda, yang ketika itu beliau masih berada di Gua Hira.

Dalam gua itu baginda didatangi oleh Malaikat Jibril, seraya berkata: ‘Bacalah!’

Rasulullah saw bersabda: “Maka aku katakan: ‘Aku tidak dapat membaca.'”

Lebih lanjut, baginda bersabda: “Lantas Jibril memegangku seraya mendakapku sampai aku merasa kepayahan.

Selanjutnya Jibril melepaskanku, lalu berkata: ‘Bacalah.

‘Aku tidak dapat membaca,’ jawabku.

Kemudian Jibril mendakapku untuk kedua kalinya sampai aku benar-benar kepayahan. Selanjutnya, dia kembali melepaskanku seraya berkata: ‘Bacalah.”

Aku tetap saja menjawab: ‘Aku tidak dapat membaca.’

Kemudian dia pun mendakapku ketiga kalinya sampai aku benar-benar kepayahan.
Lantas ia melepaskanku lagi, seraya berkata:’ ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ (Bacalah dengan Nama Rabbmu yang menciptakan) sampai pada pada ayat مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (Apa yang tidak diketahuinya)’

“Maka baginda segera pulang dengan sekujur tubuh dalam keadaan menggigil, hingga akhirnya dia masuk menemui Saidatina Khadijah, dan meminta: “Selimuti aku, selimuti aku.”

Khadijah pun cepat-cepat menyelimuti baginda sampai akhirnya rasa takut baginda hilang.

Selanjutnya, baginda bersabda: “Apa yang terjadi padaku?”

Lalu baginda menceritakan peristiwa yang dialaminya seraya bersabda: “Aku khuwatir sesuatu akan menimpa diriku.”

Maka Saidatina Khadijah pun berkata kepada beliau: “Tidak, bergembiralah. Demi Allah. Allah tidak akan pernah menghinakanmu. Sesungguhnya engkau adalah orang yang paling suka menyambung tali silaturahim, berkata jujur, menanggung beban (orang lain), menghormati tetamu, dan membantu menegakkan tiang-tiang kebenaran.”

Kemudian, SaidatinaKhadijah mengajak baginda pergi hingga akhirnya dia membawa baginda menemui Waragah bin Naufal bin Asad bin Abdil Uzza bin Qushay, iaitu sepupu Saidatina Khadijah, sepupu lelaki dari belah ayahnya. Dia seorang penganut Nasrani pada zaman Jahiliyah.

Dia menulis kitab berbahasa Arab dan juga menulis Kitab Injil atas kehendak Allah. Dia adalah seorang yang sudah berumur dan buta.

Lalu Saidatina Khadijah berkata: “Wahai sepupuku, dengarkanlah cerita dari anak saudaramu ini.” Kemudian Waraqah berkata: “Wahai anak saudaraku, apa yang telah terjadi padamu?”

Selanjutnya, Rasulullah saw menceritakan apa yang baginda alami kepadanya.

Lalu Waragah berkata: “Itu adalah Namus (Malaikat Jibril) yang diturunkan kepada Musa as. Andai saja saat itu aku masih muda. Andaikan saja nanti aku masih hidup saat engkau diusir oleh kaummu.”

Kemudian Rasulullah saw bertanya: “Apakah mereka akan mengusirku?”

Waraqah menjawab: “Ya. Tidak akan ada seorang pun yang datang dengan membawa apa yang engkau bawa melainkan akan disakiti. Dan jika aku mash hidup pada masa mu, nescaya aku akan mendukungmu dengan pertolongan yang sangat besar.”

Tidak lama kemudian, Waraqah meninggal dunia dan wahyu pun terhenti, sehingga Rasulullah benar-benar bersedih hati.

Berdasarkan pada berita yang sampai pada kami, kesedihan baginda itu berlangsung terus-menerus, sehingga baginda ingin menjatuhkan diri dari puncak
gunung.

Setiap kali baginda sampai di puncak gunung dengan tujuan menjatuhkan diri, Jibril muncul seraya berkata: “Wahai Muhammad, sesungguhnya engkau benar-benar Rasul Allah.”

Dengan demikian, maka hati baginda pun menjadi tenang serta jiwanya menjadi stabil dan sesudah itu baginda kembali pulang.

Adapun jika tenggang (rahmat) waktu tidak turunnya wahyu itu terlalu lama, maka baginda akan melakukan hal yang sama. Di mana jika baginda sampai di puncak gunung, maka Malaikat Jibril tampak olehnya serta mengucapkan hal yang sama kepada baginda.

Menurut Ibnu Katsir, hadis ini diriwayatkan dalam kitab Ash-Shahihain, dari Hadis az-Zuhri.