Panduan Lengkap Solat Sunat Ihram: Persediaan Ibadah Umrah dan Haji

Jika ditelusuri, ibadah haji merupakan program motivasi yang ditetapkan Allah swt kepada hamba-hambaNya untuk sekurang-kurangnya sekali seumur hidup (bagi yang berkemampuan).

Sewaktu himpunan agung terbesar ini, Allah swt memberikan peluang kepada hamba-hambaNya yang terpilih agar bermuhasabah. Di sini, segala jenis pangkat, darjat kebesaran, harta kekayaan, dan pengaruh sudah hilang nilainya.

Pakaian ihram yang dipakai oleh para jemaah merupakan uniform wajib kepada setiap jemaah yang melakukan ibadah haji dan umrah. Melalui pakaian seragam seperti ini tiada siapa dapat mempamerkan ataupun menunjukkan kekayaan harta ataupun ketinggian darjat masing-masing.

Disisi Allah swt, semua manusia adalah sama dari segi luaran. Hanya takwa dan iman yang menjadikan mereka berbeza dan lebih tinggi antara satu sama lain.

Solat Sunat Ihram: Persediaan Ibadah Umrah dan Haji

Solat sunat ihram disunatkan kepada mereka yang mahu melakukan ihram sama ada ihram haji ataupun umrah. Solat sunat ihram dilakukan sebanyak dua rakaat sebelum memulakan ihram. Solat ini dilakukan selepas mandi sunat ihram dan memakai pakaian ihram. Selepas melakukan solat ini, bakal haji berniat ihram haji ataupun umrah.

Pengertian Ihram

Ihram bermaksud mengharamkan atau melarang. Ihram dalam ibadah haji ataupun umrah merupakan keadaan yang ada pada orang yang sedang mengerjakan haji ataupun umrah bermula ketika berniat mengerjakannya dan berakhir ketika tahalul.

Ibadah ini dinamakan sebagai ihram, kerana orang yang mengerjakannya diharamkan melakukan beberapa perkara.

Pakaian Ihram

Warna putih yang ditetapkan bagi pakaian ihram lelaki dan perempuan bermakna persamaan taraf kepada setiap manusia.

  • Pakaian ihram lelaki adalah dua helai kain lepas, iaitu tidak dijahit dan tidak pula dijalin (tidak dicantum). Sehelai dipakai sebelah bawah bagi menutup aurat, iaitu antara pusat dan lutut dan sehelai lagi dibuat selendang. Kain ini disunatkan berwama putih.
  • Pakaian ihram perempuan pula hendaklah menutup semua badannya kecuali muka dan tapak tangan yang terbuka seperti pakaian dalam solat.

Panduan / Langkah Demi Langkah Solat Sunat Ihram

Rakaat Pertama

  1. Berdiri tegak menghadap kiblat. Melafazkan niat solat sunat ihram (sunat untuk melafazkannya dalam bahasa arab)
  2. Mengangkat takbir sambil berniat dalam hati solat sunat ihram: Saya bersolat sunat ihram 2 rakaat tunai kerana Allah Taala.
  3. Membaca Surah Al Fatihah dan diikuti dengan sebarang surah lain (afdal untuk membaca Surah Al Kafirun)
  4. Rukuk
  5. Iktidal
  6. Sujud pertama
  7. Duduk antara dua sujud
  8. Sujud kedua

Rakaat Kedua

  1. Berdiri tegak menghadap kiblat
  2. Membaca Surah Al Fatihah dan diikuti dengan sebarang surah lain (afdal untuk membaca Surah Al Ikhlas)
  3. Rukuk
  4. Iktidal
  5. Sujud pertama
  6. Duduk antara dua sujud
  7. Sujud kedua
  8. Duduk tawarruk dan membaca tahiyat akhir.
  9. Memberi salam

Selesai

13 Pantang Larang Semasa Melakukan Ihram Talbiah

  1. Menutup kepala atau sebahagian kepala bagi lelaki.
  2. Memakai pakaian bersarung sama ada berjahit ataupun sebagainya bagi lelaki, seperti seluar, baju, sarung kaki, dan semua jenis pakaian berjahit yang dijadikan sebagai sarung.
  3. Menutup muka dan tapak tangan bagi wanita.
  4. Memakai sarung tangan.
  5. Memakai bau-bauan sama ada pada badan, pakaian, makanan, minuman, ataupun menghisapnya ke dalam hidung.
  6. Bersetubuh.
  7. Melakukan perkara-perkara yang menaikkan nafsu syahwat seperti bercumbuan.
  8. Akad nikah sama ada ijab atau kabul untuk diri sendiri ataupun mewakili orang lain.
  9. Memakai minyak rambut di kepala ataupun janggut.
  10. Mencabut rambut dan kuku.
  11. Mengerat atau memotong kuku kaki ataupun tangan.
  12. Memotong, menebang, ataupun mencabutumbuh-tumbutan
  13. Memburu binatang yang halal dimakan ataupun
    membinasakannya.