Surah ini dinamakan dengan ‘al-Falaq’ atau jika diterjemahkan kepada bahasa melayu sebagai ‘subuh’, kerana Allah swt menyebut mengenainya pada permulaan surah.
Ia juga dinamakan bersekali dengan surah an-Nas sebagai nama Al-Mu’awwizatain.
Surah ini turun sesudah turunnya surah al-Fil, sebelum surah an-Nas. Surah ini diturunkan di Madinah kerana ia berkaitan dengan sihir yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi terhadap Rasulullah saw.
Surah al-Falaq – Jawi, Rumi dan Terjemahan Bahasa Melayu
Terjemahan Bahasa Melayu Surah al-Falaq
- Katakanlah: “Aku berlindung kepada Rab Yang Menguasai subuh (1)
- daripada kejahatan makhluk-Nya (2)
- dan daripada kejahatan malam apabila telah gelap gelita (3)
- dan daripada kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul (4)
- dan daripada kejahatan pendengki apabila ia dengki” (5)
Ringkasan Tafsir Surah al- Falaq serta Kelebihan dan Pengajarannya
Al-Falaq membawa maksud mengasingkan atau membelah sesuatu dengan sesuatu yang lain. Atau secara mudahnya, subuh adalah masa yang memisahkan waktu malam dan siang.
Allah jualah yang membelah cahaya subuh (yang mengasingkan fajar), dan menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentu Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui. - Surah al-An'am, ayat 96
Surah al-Falaq ini mengandungi 5 ayat yang membawa mesej untuk mengajar Nabi Muhammad saw bagaimana untuk memohon perlindungan daripada Allah swt akan kejahatan syaitan yang direjam, orang-orang yang ingkar, penyihir dan orang-orang fasiq.
Allah swt memerintahkan kepada Nabi Muhammad saw untuk memohon perlindungan dengan satu sifat iaitu Tuhan Yang Menguasai Subuh daripada 4 kejahatan (ayat 1 – 5)
TUHAN YANG MENGUASAI SUBUH
- Ayat 2: Kejahatan makhluk
- Ayat 3: Kejahatan masa khususnya pada waktu malam.
- Ayat 4: Kejahatan amalan, khususnya sihir.
- Ayat 5: Kejahatan jiwa, khususnya perasaan dengki.
Bulan sememangnya satu tanda masuknya waktu malam serta tidak memiliki kekuasaan kecuali pada waktu malam. Demikian juga bintang-bintang yang tidak akan bersinar selain pada malam hari.
Aisyah ra berkata: Rasulullah saw pernah memegang tanganku dan memperlihatkan bulan kepadaku pada saat terbit dan Baginda bersabda, 'Berlindunglah kepada Allah swt daripada kejahatan malam hari apabila telah gelap gelita.' - Hadis Riwayat Imam Ahmad
Ibnu Thawas, daripada ayahnya, bahawa dia mengatakan: Tidak ada sesuatu yang lebih dekat dengan kemusyrikan melebihi jampi ular dan orang gila - Hadis Riwayat Ibnu Jarir
Kisah Nabi Muhammad saw disihir
Imam Bukhari ada menceritakan tentang kisah Nabi Muhammad disihir oleh Labid bin al-A’sam. Diriwayatkan oleh Aisyah ra,
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah disihir oleh seorang lelaki dari Bani Zuraiq yang bernama Labid bin al-A‘sam sehingga baginda berasa khayal melakukan sesuatu perkara, padahal baginda tidak melakukannya. Hinggalah pada suatu hari atau suatu malam ketika berada di sisiku baginda berdoa dan terus berdoa.
Kemudian Nabi SAW: “Wahai ‘Aishah, apakah engkau merasakan bahawa Allah SWT telah mendatangkan fatwa ketika aku benar-benar memerlukannya? Telah datang kepadaku dua orang lelaki, lalu salah seorang daripadanya duduk berhampiran kepalaku, dan seorang lagi berhampiran kakiku”.
Berkata lelaki yang berada berhampiran kepala kepada temannya yang berada berhampiran kakinya: “Apakah penyakit lelaki ini?”. Lalu dijawab: “Terkena sihir”. Berkata lagi: “Siapa yang menyihirnya”, lalu dijawab: “Labid bin al-A‘sam. Berkata lagi: “Dengan (bahan) apa (disihir)?”, lalu dijawab: “Pada sikat dan rambut, dan kemudian dibungkus dengan seludang tamar jantan muda”. (Lelaki itu) bertanya lagi: “Di mana letaknya benda itu”. Lalu dijawab: “Di dalam telaga Dharwan”.
Maka Rasulullah SAW mendatangi telaga itu bersama dengan beberapa orang sahabat baginda. (Setelah kembali) Nabi SAW berkata: “Wahai ‘Aishah, telaga yang aku lihat itu airnya berwarna merah-kemerahan seperti inai. Rupa pohon tamar itu seperti kepala-kepala syaitan”.
Aku (‘Aishah) bertanya: “Ya Rasulullah, kenapa tidak dikeluarkan sahaja benda itu?”. Baginda menjawab: “Jangan! Allah telah menyembuhkan daku. Aku tidak suka mengenakan kejahatan seperti ini ke atas orang lain”. Lalu baginda menyuruh agar ditimbus bahan-bahan sihir dalam telaga itu”.
Ayat 4 surah al-Falaq adalah untuk menegaskan jenis-jenis sihir dan dikaitkan juga sihir tersebut pernah berlaku ke atas Nabi SAW. Bahkan, surah ini (iaitu al-Falaq dan termasuk surah an-Nas), sebab turunnya adalah untuk membantu membebaskan dan membatalkan sihir yang berlaku ke atas Nabi Muhammad saw.
Terdapat beberapa kaedah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap sihir tersebut:-
- Sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT memohon kesembuhan;
- Mengenal pasti tempat bahan sihir itu diletakkan atau disembunyikan;
- Mengeluarkan bahan sihir dan membatalkan sihir;
- Menanam bahan sihir dan mengelakkan daripada membakarnya; dan
- Memaafkan perbuatan tukang sihir tersebut dan menyerahkan urusan pembalasannya kepada Allah SWT.