Surah al Fatihah – 5 Kelebihannya Menurut Hadis Nabi, Maksud Bahasa Melayu

Surah ini dinamakan al-Fatihah kerana ia merupakan surah pertama yang ditulis dalam al-Quran. Ibnu Katsir mengatakan, surah ini juga merupakan permulaan bagi setiap solat yang dikerjakan oleh hamba-Nya.

Surah al-Fatihah juga disebut sebagai Ummul Kitab berdasarkan kepada dalil hasis, daripada Abu hurairah ra, bahawa Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Alhamdu lilahi robbil’alamin adalah Ummul Quran, Ummul Kitab, As-Sab’ul Matsani (7 ayat yang dibaca berulang-ulang) dan al-Qura-anul Azhim” – Hadis Riwayat at-Tirmidzi

Baca: Surah Al Fatihah Rumi Bahasa Melayu

Kelebihan Surah al-Fatihah Menurut Hadis

Terdapat dalil yang menjelaskan tentang kelebihan serta fahilat yang ada pada surah al-Fatihah apabila dibaca dan diamalkan. Antaranya ialah

1: Surah Paling Agung Dalam al-Quran

Surah al-Fatihah merupakan surah yang paling agung dalam al-Quran. Ini dibuktikan berdasarkan kepada hadis sahih, Nabi Muhammad SAW bersabda kepada Abu Sa’id: Maksudnya:

“Aku akan mengajar kepadamu satu surah yang paling agung dalam al-Quran sebelum engkau keluar dari masjid.”

Dia (Abu Sa’id) berkata, “Kemudian, Baginda memegang tanganku. Ketika Baginda SAW hendak keluar dari masjid aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya kamu berkata, Sesungguhnya aku akan mengajar kepadamu satu surah yang paling agung dalam al-Quran.’

Lantas Baginda menjawab, ‘Ya. Surah tersebut ialah ‘Alhamdu lilahi robbil’alamin‘ (Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam). Surah al-Fatihah mengandungi tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan al-Quran yang agung yang diberikan kepadaku. “›

Hadis Riwayat al-Bukhari

Selain itu, dalam hadis yang lain turut menjelaskan tentang Surah al-Fatihah merupakan surah agung yang diturunkan hanya kepada Nabi Muhammad saw sahaja. Hal ini sebagaimana Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya: “Demi Allah yang diriku di tangan-Nya, tidak diturunkan dalam Taurat, Injil atau Zabur atau pada ayat-ayat al-Furgan yang lain seumpamanya. Sesungguhnya surah ini mengandungi tujuh ayat yang berulang-ulang dan al-Quran yang agung yang telah dikurniakan kepadaku.” – Hadis Riwayat al-Tirmidzi

Baca: Reaksi Orang yang Dikirimi Al-Fatihah, Berikut Manfaatnya

Surah al Fatihah - 5 Kelebihannya Menurut Hadis Nabi, Maksud Bahasa Melayu

2: Surah yang Wajib Dibaca dalam kedua-dua Solat Fardhu dan Sunat

Surah al-Fatihah juga merupakan satu-satunya surah yang wajib dibaca setiap kali menunaikan solat sama ada solat fardhu mahupun solat sunat. Ini jelas menunjukkan kelebihan dan keistimewaan yang ada pada Surah al-Fatihah. Oleh itu, solat yang tidak dibacakan dengan Surah al-Fatihah akan menyebabkan solat tersebut tidak sah.

Ubadah bin al-Somit menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Solat seseorang tidak sah jika tidak membaca Fatihat al-Kitab." - Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

3: Surah yang Mendapat Pengiktirafan daripada Allah swt

Allah swt telah mengiktiraf bacaan Surah al-Fatihah dalam solat dengan memuji hamba-Nya pada setiap ayat yang dibacakan. Allah swt juga akan memperkenankan apa-apa jua yang dimohon dan diminta oleh hamba-Nya. Ini berdasarkan riwayat oleh, daripada Abu Hurairah, maksudnya:

“Aku telah membahagi solat antara diri-Ku dengan hamba-Ku menjadi dua bahagian.

Apabila dia membaca, ‘Alhamdu lilahi robbil’alamin’, maka Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah memuji-Ku.’ Apabila hamba membaca, ‘Ar rahmanir-rahim’, ‘ Hamba-Ku menyanjung-Ku.’

Apabila hamba membaca, ‘Maliki-yawmiddin’, maka Allah berkata, ‘Hamba-Ku telah memuliakan-Ku.’ Pada riwayat lain disebutkan, ‘Hamba-Ku telah menyerahkan urusannya kepada-Ku.’

Apabila hamba membaca, ‘Iyaka na’budu wa-iyyaka-nast’ain’, maka Allah berfirman, ‘Hal ini adalah antara diri-Ku dengan hamba-Ku, dan bagi hamba-Ku apa-apa yang dia minta.’

Apabila hamba membaca, ‘ Ihdinos sirothol mustaqim. Sirothol-lazina an’amta ‘alaihim. Gh’oiril ma’dhubi ‘alaihim walad-dhollin’, maka Allah berfirman, ‘Ini adalah untuk hamba-Ku, dan bagi hamba-Ku apa-apa yang dia minta. ‘”

Hadis Riwayat Muslim

4: Surah yang Dijadikan Sebagai Pengubat dan Penyembuh

Sahabat Nabi Muhammad saw pernah menggunakan Surah al-Fatihah untuk mengubat penyakit yang dialami oleh seorang ketua kabilah Arab Badwi sehingga sembuh. Nabi Muhammad SAW sendiri bersabda kepada sahabat tersebut, iaitu Abu Sa’id al-Khudri r.a., maksudnya:

Bagaimanakah engkau mengetahui bahawa Surah al-Fatihah itu ada rugyah? - Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

5: Surah yang Menjadi Cahaya Kehidupan

Surah al-Fatihah juga disifatkan sebagai cahaya yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw. Penyataan ini adalah berdasarkan kepad dalil hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a, maksudnya:

Ketika Jibrail sedang bersama-sama Nabi SAW, tiba-tiba Baginda SAW mendengar suara. Lalu Jibrail melihat ke arah langit dan berkata, “Ada pintu langit yang dibuka pada hari ini, sedangkan pintu ini belum pernah dibuka sebelum ini.”

Kemudian, turunlah malaikat dari pintu tersebut.

Jibrail berkata, “Malaikat ini telah turun ke bumi sedangkan ia belum pernah turun sebelum ini melainkan hari ini.”

Malaikat tersebut lalu mengucapkan salam dan berkata, “Bergembiralah dengan dua cahaya yang telah diberikan kepadamu yang belum pernah diberikan kepada seorang nabi pun sebelum kamu, iaitu ‘Fatihat al-Kitab’ dan ‘ayat-ayat terakhir Surah al-Baqarah’.

Tidaklah engkau membaca satu huruf pun daripadanya melainkan engkau akan mendapat apa-apa yang engkau harapkan.”

Hadis Riwayat Muslim